Tuesday 21 December 2010

Haruman Cinta Di Taman Syuga

SIRI TERAKHIR....


Bermula dari titik itu, ia meninggalkan semua gaya hidunya yang lalu. Hidup yang penuh dengan keasyikan dunia. Diri yang bergelumang dosa. Sebelum ini, ia hidup dalam dunia yang glamour. Kini ia berpaling dari dunia dan menghadap arah wajahnya untuk akhirat. Dia takut dengan azab Allah. Tubuhnya bergetar hebat sebaik mendengar nama Allah. Selendang putih pemberian Riham ia jadikan hamparan untuk ibadahnya. Selendang itulah yang menjadi tempat di mana dirinya bersujud dan menangis dalam solat malamnya memohon bimbingan dan rahmat dari Allah Subhanahu wa Ta’ala. Di atas selendang putih itu ia menemukan cinta yang suci lagi agung yang dianugerahkan Allah pada hambanya yang beriman. Cinta yang ditemui bukan saja cinta kepada manusia malahan cinta yang teragung iaitu cinta kepada Allah Azza Wa Jalla. Riham juga melakukan hal yang sama di rumahnya. Allah mengurniakan cinta yang murni sesuci cinta Adam dan Hawa. Kedua-duanya hanyut dibawa arus samudra cinta Allah Subhanahu wa Ta’ala.
Cuti yang diambil Riham sudah tamat. Ia kembali masuk bertugas. Seri mukanya kembali menyirna. Allah Maha Rahman dan Rahim. Beberapa bulan kemudian Riham menerima sepucuk surat. Ternyata surat dari Nurul. Hati Riham berbunga-bunga.

Kepada Riham,

Assalamualaikum,
Sepanjat-panjat kesyukuran kehadrat Ilahi. Segala puji bagi Allah, Dialah Tuhan yang memberi jalan keluar kepada hambaNya yang bertaqwa. Memang betul apa yang saudara katakan, jika kita terus bertaqwa Allah akan memberi jalan keluar kepada kita. Beberapa hari lepas, ayahku telah memutuskan hubungan pertunangan aku dengan Muaz. Allah telah membuka hijab hati ayahku. Ayahku dapati Muaz seorang penagih dadah. Cepatlah kau datang melamarku. Itupun jika kamu masih ada hati denganku. kita laksanakan prnikahan mengikut sunnah Nabi Muhammad S.A.W. Aku pinta secepat mungkin.
Salam cinta.
Wassalam.
Nurul Athieqa al-Zahra
………………..

Maka saat cinta bersemi memanggil. Petang itu,dengan membaca surah al-fatihah, ikatan pertunangan Nurul Zahra dengan Riham pun rasmilah sudah. Upacara ini disaksikan oleh saudara mara yang terdekat sahaja. Zahra kelihatan anggun dengan balutan jubah hijau muda. Kecantikannya terserlah.. Keluarga Riham memuji keayuan yang terpamer di muka Nurul. Tarikh perkahwinan ditetapkan satu minggu dari sekarang. Tarikh ini dipersetujui oleh kedua-dua pasangan. Mereka mahu mempercepatkan perkahwinan.
Saat menghitung saat, jam menghitung jam, hari menghitung hari, minggu menghitung minggu genaplah sebulan pertunangan mereka. Senja itu melabuhkan tirai. Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa. Burung-burung terbang kembali ke sarang. Bintang-bintang bertasbih memuji Ilahi.Alam bagai meraikan hari yang bersejarah ini. Solat diimamkan Riham. Suara Riham yang merdu mengalunkan ayat-ayat suci Allah membuai para jamaah. Dalam solatnya, Riham membaca surah an-Nisa. Ia menghayati sepenuhnya maksud ayat. Sebentar lagi ia akan bergelar suami. Inilah terakhir baginya mengimami solat dalam kondisi bujang. Jiwanya luluh. Hatinya hanyut dalam bacaan al-quran. Selesai solat Maghrib, ayah Nurul mampir ke hadapan. Ia membuat pengumuman ringkas:
" Assalamualaikum.. Jamaah Maghrib yang diberkati sekalian, malam ini akan berlaku satu peristiwa bersejarah dan penting iaitu pernikahan anak saya, Nurul Athieqa al-Zahra. Oleh itu, saya mohon kepada semua jamaah dan pelajar yang ada dalam masjid ini menjadi saksi!"
Riham maju ke hadapan dengan langkah yang gemuruh. Hatinya bagai dilanda taufan yang kuat. Lebih dari ratusan mata memandang ke arahnya. Dia bagaikan artis ketika itu. Riham tertunduk di hadapan tuan imam. Hatinya semakin mantap. Ayat-ayat suci tidak lekang meniti di bibirnya. Di tingkat atas, Nurul sedang menanti-nanti detik yang membahagiakan itu. Taufan yang melanda hatinya juga tidak kurang hebatnya. Jantungnya kencang berdenyut.
Tuan imam memulakan proses akad nikah. Seterusnya tuan imam memulakan akad,
" Wahai Muhammad Riham Al-Ikram, aku nikahkan dan aku kahwinkan kau dengan Nurul Athieqa al- Zahra dengan mahar cincin emas dibayar tunai.

Semua hadirin menanti dengan saksama jawapan dari Riham.

"Qabiltu nikahaha wa tazwijaha bi mahri mazkur haalan!" Aku terima menikah dan mengahwininya dengan mahar tersebut dibayar tunai.

Takbir!…takbir!..takbir!.. laungan memuji kebesaran Allah bergema seantero masjid. Riham menangis. Seketika itu juga ia sujud syukur. Ketika Riham turun dari tangga masjid, dia terus disambut dengan takbir yang menggetarkan alam.
Riham bersalaman dengan kedua ibu bapanya sebelum mengikut ayah mentuanya. Ibu Riham menangis saat Riham mencium pipi bersih ibunya. Sekarang Riham sudah bergelar suami. Dengan hati yang gembira Riham mengiringi bapa mentuanya ke rumah. Kelihatan Nurul dan ibunya sudah terlebih dahulu sampai dan masuk ke dalam rumah. Aku sudah ada isteri. Inilah rezeki yang dikurnia Allah. Ia bermonolog sendiri.

"Teruskan naik ke atas nak, isterimu sudah sedia menunggu kamu di dalam bilik." Ibu Nurul menghentak lamunannya.
Aliran darah semakin deras. Hatinya bergelora hebat. Dia serba salah. Perasaan gembira, takut, malu menghantuinya.
Riham menguatkan hatinya, ia membaca selawat bagi menteneramkan jiwanya. Dia melangkah ke atas. Sebaik berdiri di hadapan pintu bilik tertera nama Nurul, hatinya semakin kuat berdebar. Dia mengetuk pintu seraya memberi salam. Suara bening menjawab dari tabir pintu. Pintu dibuka perlahan. Riham terpaku sesaat, kelihatan seakan-akan bidadari berada di taman syurga tepat di hadapannya.
Riham melangkah longlai. Pintu ditutup. Nurul mengunci pintu. Riham memandang Nurul dengan penuh rasa cinta. Nurul tertunduk malu. Pipinya kemerah-merahan menahan malu. Bauan kasturi menusuk jiwa Riham. Bauan pengantin semerbak di seantero bilik. Riham mengangkat wajah isterinya.

"Kamu sungguh cantik, isteriku. Kecantikanmu sungguh luar biasa. Cahaya jelas terpancar di mukamu. Tapi aku bimbang. Adakah kau redha menikahi aku"?
Nurul menggangguk dengan penuh manja. " Kalau begitu, duduklah. Aku mahu mencari keredhaan sebelum melakukan ibadah. Aku mahu membaca doa keberkatan". Lalu dengan kelembutan cinta perlahan-lahan tangan kanannya memegang ubun-ubun isterinya dan membacakan doa yang diajarkan oleh Rasullah Saw. Linangan air mata mengamimkan doa.
Jari jemari Nurul memegang kancing bajunya. Riham memandang dengan hati bergetar. Sarafnya dilanda hangat yang amat.

"Tunggu isteriku!". Ini adalah tugasku, bukan tugasmu.
Riham maju menghampiri isterinya. Ia perlahan-lahan mencium kening isterinya. Jari- jemari Nurul diramah lembut. Dalam kelembutan seakan ada ikatan yang amat kukuh. Dia merebahkan perlahan-lahan tubuhnya di atas katil. Nurul berkaca-kaca sambil berkata,
" kasihku, mahukah kamu mendengar puisiku?"

Riham mengangguk sambil tangannya terus bekerja menyempurnakan ibadat dua insan yang sedang berada di taman cinta.

Engkaulah cinta hatiku, Bukalah balutanku,
Belailah suteraku, Muliakanlah mahkotaku,
Nikmatilah jamuanku, Jangan khianatiku!
Hiruplah haruman cinta di taman syurga…

Kedua-dua insan itu bertasbih melengkapkan ibadah mereka sebagai hamba-hamba Allah yang mengikut sunnah para nabi dan rasul yang mulia. Alam begitu mempesonakan. Malam hari itu begitu indah. Berjuta-juta bintang bertasbih di langit. Unggas-unggas mengintip malu di sebalik pepohon. Rembulan menjadi saksi cinta suci ini. Pokok-pokok bergoyang-goyang bertasbih dan bersembahyang. Malam itu Riham dan Nurul merasai nikmat kurniaan Allah. Mereka hanyut dalam ibadah kepada Allah. Sesungguhnya kasih sayang Allah itu melebihi segalanya. Cinta mereka yang suci, harum seharum haruman cinta di taman syurga.

sekian.. semoga mendapat manfaat.
nantikan cerpen terbaru...